Thursday, March 24, 2011

Garis panduan pembiayaan berhemah akan diperkenal

BANK Negara Malaysia akan memperkenalkan garis panduan baru pembiayaan berhemah dalam sistem perbankan tempatan pada suku ketiga ini dalam untuk mengekalkan paras hutang isi rumah berada pada paras yang boleh diuruskan.

Garis panduan baru itu disasar dapat menggalakkan amalan meluluskan pembiayaan secara bertanggungjawab di kalangan institusi kewangan tempatan ketika menangani keperluan pelang-gan masing-masing.
Bagaimanapun, keperluan baru dalam garis panduan berkenaan tidak akan menjejas atau mengehadkan jumlah pembiayaan yang disediakan di dalam pasaran.
Gabenornya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata garis panduan baru itu akan diperkenalkan dalam tempoh tiga bulan lagi memandangkan kertas kerja mengenai konsep serta proses rundingan dengan sektor perbankan tempatan sudah disiapkan.

“Garis panduan itu masih belum boleh dikeluarkan sekarang kerana institusi perbankan perlu menyediakan mekanisme bersesuaian ke dalam sistem masing-masing untuk memudahkan pelaksanaannya.

“Mekanisme itu kelak dapat memastikan tidak berlaku sebarang penangguhan ke atas pelaksanaan garis panduan baru berkenaan,” katanya ketika membentangkan Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2010 di Kuala Lumpur, semalam.

Antara keperluan utama dalam garis panduan pembiayaan berhemah sistem kewangan tempatan ialah membuat penilaian wajar bagi kesesuaian dan keupayaan membuat bayaran balik di kalangan peminjam.
Selain itu, institusi perbankan tempatan juga perlu membuat pengesahan jumlah pendapatan pelanggan sebelum membuat sebarang kelulusan pembiayaan.

Institusi perbankan tempatan juga perlu menyediakan lembaran maklumat produk untuk memudahkan pelanggan membuat keputusan.

Isi kandungan utama dalam lembaran maklumat produk itu termasuk jenis pembiayaan, keperluan membuat bayaran balik, caj dikenakan, kesan jika tidak membuat bayaran balik, risiko yang dikaitkan dengan produk serta mekanisme bantuan berkaitan.

Zeti berkata, institusi kewangan yang memenuhi semua keperluan berkenaan akan mempunyai akses untuk menyediakan pembiayaan.

Beliau menegaskan, langkah membuat pengesahan dan menilai kemampuan peminjam adalah sangat penting dalam sebarang skim atau kegiatan pinjaman.

“Sektor perbankan tempatan mempunyai kedudukan yang baik untuk membuat penilaian berkenaan,” katanya.

Bank Negara sebelum ini mendapati arah aliran peningkatan hutang isi rumah boleh menjadi satu perkara yang membimbangkan.

Antara 2000 hingga 2009, hutang isi rumah berkembang pada kadar tahunan 13.5 peratus, manakala paras hutang isi rumah kepada nisbah keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat daripada 46 peratus pada 2000 kepada 76 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun, berdasarkan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran Bank Negara 2010, mutu pinjaman dalam sistem kewangan tempatan terus bertambah baik dengan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) kasar pada tahun lalu adalah 2.3 peratus, berbanding 3.1 peratus pada 2009.

Prestasi itu disumbangkan oleh langkah institusi kewangan tempatan yang mengekalkan standard pembiayaan dan amalan pengurusan risiko secara berhemah.

Ia turut disokong oleh sistem dan infrastruktur maklumat kredit yang komprehensif di negara ini.

sumber berita harian 24/03/2011

pengurusan kewangan