Friday, April 22, 2011

Amanah Saham 1Malaysia tingkat hidup golongan rendah


KUALA LUMPUR 21 April - Skim Amanah Saham 1Malaysia, yang memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah melabur dengan pelaburan rendah, dilihat dapat membantu meningkatkan taraf hidup golongan itu.

Skim itu, yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, juga dilihat sebagai komitmen teguh kerajaan dalam usaha menjayakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk N.Marimuthu yang menyifatkan bahawa skim itu adalah kunci terbaik bagi membantu mereka bersaing dan bertahan dalam cabaran ekonomi kini.

"Skim ini merupakan inisiatif terbaik kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah supaya kelak dapat bersaing dalam arus pembangunan negara kini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Malah, katanya penawaran skim yang mempunyai risiko pelaburan pada tahap paling minimum itu juga dapat mendidik pelabur kecil ini mengenai kepentingan simpanan pada masa depan.

Skim dengan saiz 10 bilion unit itu akan dikendali oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan butiran mengenai skim kini sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan.

Ia dibuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Marimuthu turut menggesa masyarakat India agar mengambil peluang dalam pelaburan itu kerana kerajaan membuka kuota sebanyak 15 peratus dalam saham tersebut kepada masyarakat itu.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman pula menganggap pelaksanaan pelaburan itu dapat menggalakkan rakyat menyimpan dengan lebih berhemah.

"Kita mahu rakyat menyimpan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pendapatan dan skim ini terbaik kerana ia pelaburan jangka masa panjang dan risikonya rendah," katanya. - BERNAMA

*Sumber Artikel dipetik daripada Utusan Malaysia 22/04/2011


pengurusan kewangan