Sunday, April 17, 2011

Elakkan melabur dengan ejen haram

KUALA LUMPUR 15 April - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggesa orang ramai supaya tidak menyerahkan wang kepada mana-mana ejen pelaburan yang tidak berlesen, biarpun dicadangkan oleh ahli keluarga dan rakan-rakan.

SC dalam kenyataannya di sini turut mendedahkan bahawa Uzir bin Abdul Samad, (IC No: 720824-01-5543) dan UAS Bistari Management Sdn. Bhd. (UAS) (806034-H) adalah ejen tidak berlesen.

SC berkata, Uzir dan UAS tidak diberikan lesen oleh SC untuk menjalankan sebarang aktiviti kawal selia, termasuk mendapatkan wang daripada orang ramai bagi pelaburan dalam sekuriti.

"Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi yang tidak realistik.

"Jika skim tersebut dikaitkan dengan pengantara berlesen, pelabur dinasihatkan supaya mengesahkan kesahihan skim tersebut dengan pengantara berlesen berkenaan atau dengan SC,'' kata SC.

Suruhanjaya itu juga berkata, individu yang tidak diberikan lesen oleh SC adalah tidak dibenarkan mengutip wang daripada orang lain bagi pelaburan dalam portfolio sekuriti bagi pihak mereka.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melabur dalam pasaran melalui akaun dagangan orang lain, termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan.

Sesiapa yang menjalankan aktiviti seperti itu tanpa lesen yang diperlukan boleh didakwa di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Sekiranya sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan mengenai skim pelaburan, dinasihatkan supaya menghubungi Jabatan Hal Ehwal Pelabur dan Pengaduan SC melalui e-mel di aduan@seccom.com.my atau telefon: 03-62048999 dengan segera.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya hanya berurusan hanya dengan syarikat dan individu yang dilesenkan oleh SC sebagaimana yang disenaraikan di laman web SC: www.sc.com.my

*sumber utusan malaysia 16/04/2011

pengurusan kewangan