Sunday, October 16, 2011

Menabung lebih awal lebih bagus

SAYA memiliki tiga anak kembar dan berhasrat untuk menabung demi masa depan mereka. Masalahnya saya tidak tahu apa yang perlu dipilih kerana terdapat pelbagai produk ditawarkan di pasaran sekarang. Apakah produk terbaik untuk saya pilih jika mahu membuat persediaan untuk pendidikan mereka.

Anis Suraya, Nusajaya, JB

KOS untuk membesarkan dan mendidik anak meningkat setiap hari, lebih-lebih lagi bagi Puan Anis yang mempunyai anak kembar tiga. Memang banyak manfaatnya jika persediaan dibuat seawal yang mungkin. Lebih cepat kita mula melabur dalam pendidikan anak, adalah lebih baik. Seperti semua matlamat pelaburan lain, masa boleh membantu kita melipatgandakan pulangan.

Langkah pertama semasa merancang adalah menganggarkan jumlah kos pendidikan anak anda. Walaupun sukar untuk mengetahui masa depan dan meramalkan cita-cita anak anda, dalam proses membuat keputusan kita mungkin mahu menimbang kemungkinan mendapatkan pendidikan sekolah swasta, mengikut institut pengajian tinggi tempatan atau melanjutkan pelajaran di luar negara. Jumlah dana yang perlu diperuntukkan mungkin jauh berbeza bergantung pada pilihan anda.

Jangan biarkan angka ini menakutkan anda sehingga anda tidak sanggup bertindak. Sebahagian daripada pendidikan anak anda boleh dibiayai menerusi biasiswa, pinjaman pelajar atau pinjaman pendidikan bank. Walaupun begitu, anda perlu mempertimbangkan secara serius berapa banyak yang perlu anda peruntukkan, menabung lebih awal dan secara berkala.

Instrumen terbaik untuk dana pendidikan bergantung pada tempoh masa sebelum dana tersebut digunakan. Lebih lama tempoh masa, lebih besar peruntukan yang boleh dibuat untuk melabur dalam pelaburan pulangan tinggi, yang sudah tentulah mempunyai risiko lebih tinggi, antaranya termasuk dana unit amanah saham. Tetapi jika tempoh masa sebelum anda perlu menggunakan dana adalah lebih singkat, anda perlu menggunakan pilihan lebih konservatif seperti deposit tetap.

Jika anak anda akan memasuki universiti dalam masa lebih lima tahun, kami mengesyorkan anda melaburkan dana anda. Menyimpan wang dalam deposit tetap sahaja mungkin selamat tetapi pelaburan anda tidak mempunyai potensi pertumbuhan seperti jika dilaburkan dalam dana unit amanah. Apabila anda membuat pelaburan dalam dana, jangan biarkan wang anda begitu sahaja. Anda perlu meninjau prestasi dana sekurang-kurangnya setiap tahun, dan membuat pelarasan di mana perlu bagi dana yang prestasinya kurang baik.

Apabila hanya tinggal dua hingga tiga tahun lagi sebelum anak anda memerlukan dana untuk memulakan pengajian, pindahkan jumlah secukupnya untuk membiayai pengajian tahun pertama universiti ke dalam pelaburan yang lebih konservatif. Ini akan mengurangkan pendedahan anda kepada kesan turun naik pasaran. Jika anda menunggu sehingga saat terakhir apabila memerlukan wang, anda mungkin terpaksa mengeluarkannya apabila keadaan pasaran lemah, menyebabkan anda rugi sebahagian pulangan yang telah anda perolehi.

Walaupun sesetengah orang mengesyorkan produk insurans sebagai cara menabung untuk pendidikan anak anda, kami sebaliknya mencadangkan polisi insurans hayat dibeli atas nama ibu bapa. Pada hakikatnya, anda membeli insurans hayat bagi seseorang jika kematiannya akan menimbulkan masalah kewangan; jadi lindungi anda dan suami anda dengan polisi insurans hayat, bukannya anak anda. Sesetengah polisi mungkin menawarkan nilai tunai, yang boleh anda pertimbangkan untuk pendidikan anak. Tanya lebih banyak soalan tentang pulangan yang dijangkakan, berapa lama perlu memegang polisi insurans dan jika anda membuat keputusan untuk menamatkan polisi lebih awal daripada dijangka dan apakah nilai tunai yang bakal diperoleh.

sumber utusan malaysia

pengurusan kewangan