Sunday, October 30, 2011

Pengurusan harta untuk semua

SAYA ada terbaca mengenai perkhidmatan pengurusan kekayaan dalam satu baucer baru-baru ini. Apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan kekayaan dan adakah ia untuk golongan kaya sahaja?

PENGURUSAN harta merupakan perkhidmatan kewangan profesional yang wujud pada 1990 an.

Asalnya, ia bertindak bagi memantau pelbagai keperluan kewangan pelanggan-pelanggan kaya. Tetapi, hari ini perkhidmatan itu terbuka kepada semua walaupun tawaran perkhidmatan mungkin berbeza antara bank-bank terlibat.

Di OCBC Al-Amin, perkhidmatan pengurusan harta meliputi pengurusan kewangan untuk semua segmen pasaran bukan sahaja untuk mereka yang kaya.

Ia bukan sahaja memberi nasihat pelaburan, kami mengambil kira perkara lebih luas bagi kewangan individu dan meletakkan ia kepada tiga segmen iaitu perlindungan harta, pengumpulan harta dan penjagaan harta.

Mereka yang memerlukan bantuan pengurusan kewangan dan masalah kewangan individu adalah berbeza. Sebagai contoh, sesetengah pelabur ingin menambah pendapatan melalui keuntungan kewangan, yang lain mungkin menginginkan kebebasan kewangan seumur hidup.

Kami bekerja dengan pelanggan kami untuk membantu mereka memilih pelaburan bersesuaian dan kaedah untuk melabur melalui pengurusan aset dan dengan menawarkan pilihan berorientasikan perlindungan juga.

Apa yang penting apabila mengguna firma pengurusan harta, anda merancang untuk melindungi, mengumpul dan menyimpan kekayaan anda. Contoh terbaik pengurusan harta yang baik ialah pelanggan boleh memanfaatkan pelbagai jenis perkhidmatan termasuk pengurusan segala perkara, daripada kerja-kerja mudah mengimbangi akaun harian kepada perancangan jangka panjang untuk amanah dan perancangan estet.

Perkhidmatan pengurusan harta juga boleh dibuat mengikut keperluan pelanggan individu. Dalam membantu pelanggan kami, OCBC Al-Amin mengambil kira situasi kewangan semasa individu, pilihan risiko pulangan dan apakah matlamat keseluruhan mereka.

Manfaat yang anda rasai dari pengurusan harta akan berbeza mengikut keperluan masing-masing. Apabila anda ingin mencari pasukan atau individu pengurusan harta yang berpengalaman, anda akan berjumpa dengan beberapa firma berbeza dari bank kepada firma khidmat nasihat dan juga penasihat kewangan.

Membuat keputusan akan menjadi sukar sekiranya anda tidak tahu apa yang diinginkan. Anda perlu ingat, anda sebenarnya memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menguruskan keseluruhan kewangan anda. Oleh yang demikian anda perlu berusaha mencari perkhidmatan pengurusan harta terbaik.

Beberapa bahagian yang perlu diambil kira adalah penawaran produk dan rakan kerjasama sama ada mereka mempunyai pelbagai jenis produk dan perkhidmatan, pengalaman dan sebagainya.

Perkhidmatan kewangan bagi pengurusan harta berada dalam kategori yang besar. Untuk mendapat manfaat daripada perkhidmatan-perkhidmatan ini, anda tidak perlu menjadi jutawan, ahli politik atau selebriti.

Terdapat pelbagai firma pengurusan harta yang menawarkan perkhidmatan kepada pelbagai jenis pelanggan. Sebagai contoh, ada firma yang hanya tertumpu kepada pelanggan bernilai tinggi, yang lain tertumpu untuk memberi perkhidmatan terhadap kelas pertengahan atau keluarga yang bimbang dengan perniagaan kecil mereka. Bukan semua pelabur berkongsi objektif dan matlamat yang sama dan adalah baik sekiranya anda memilih firma yang mempunyai pengalaman.

sumber utusan malaysia 29/10/2011

pengurusan kewangan