Sunday, January 8, 2012

Kelebihan dan kelemahan MRTA/MRTT

MRTA (Mortgage Reducing Term Assurance) biasanya digunakan oleh pihak bank sebagai syarat mendapatkan pinjaman mereka. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini ada pihak bank memberi kelonggaran kepada peminjam untuk memilih pakej insurans pinjaman perumahan masing-masing. Jadi sebenarnya manakah yang terbaik, menggunakan khidmat yang disediakan bank atau pilihan sendiri?

Sulaiman Mohamed, Shah Alam

JAWAPAN

JIKA anda memohon untuk pinjaman perumahan, besar kemungkinan pegawai bank anda akan menawarkan insurans kredit dalam bentuk MRTT (Takaful Bertempoh Mengurangkan Pinjaman / Mortgage Reducing Term Takaful) yang patuh Syariah atau insurans MRTA (Insurans Bertempoh Mengurangkan Pinjaman / Mortgage Reducing Term Assurance) yang lazim.

Polisi seperti ini telah dirangka untuk memberikan perlindungan kepada pelanggan sepanjang tempoh pinjaman dan melindungi tanggungan pelanggan daripada perlu menjelaskan hutang sekiranya sesuatu yang tidak diduga menimpanya. Dengan kata lain, sekiranya pelanggan meninggal dunia, jumlah pinjaman belum jelas atas rumah pelanggan akan dibayar balik kepada bank. Perkara penting yang perlu ditekankan ialah manfaat insurans kredit dibayar terlebih dahulu kepada pemberi pinjaman, bukan kepada pelanggan, apabila pelanggan atau warisnya membuat tuntutan. Hanya jika terdapat baki selepas membayar balik pinjaman belum jelas, barulah wang tersebut akan diserahkan kepada pelanggan.

Di OCBC Al-Amin, pelanggan diberi pilihan untuk mendapatkan polisi ini apabila mengambil pinjaman, tetapi bank lain mungkin mempunyai dasar yang berbeza. Justeru, sebelum anda mendapatkan polisi ini, anda harus mempertimbangkan segala kelebihan dan kelemahannya. Kelebihan utama ialah ketenangan fikiran yang diberikan kerana mengetahui bahawa orang di bawah tanggungan anda tidak akan dibebankan dengan tanggungjawab melangsaikan hutang apabila anda sudah tiada; lebih-lebih lagi jika pinjaman dibuat atas hartanah yang menjadi tempat tinggal tanggungan anda. Jelas sekali bahawa jika mereka tidak mampu membayar ansuran pinjaman, rumah mungkin dirampas dan dilelong dan keluarga anda mungkin tiada tempat untuk berteduh. Jika pinjaman anda adalah untuk hartanah pelaburan atau hartanah tambahan, dan kejadian sedemikian mungkin tidak menjejaskan tanggungan anda - contohnya mereka tidak menghuni atau tidak bergantung pada hartanah tersebut untuk pendapatan sewa - anda mungkin boleh mempertimbangkan pilihan membeli polisi insurans hayat kredit.

Satu lagi perkara yang patut anda pertimbangkan sebelum membeli MRTT ialah sama ada anda mempunyai insurans atau aset lain, seperti wang simpanan, yang boleh digunakan untuk melangsaikan hutang anda sekiranya anda meninggal dunia. Anda boleh menggunakan aset ini untuk membayar balik baki pinjaman belum jelas jika sesuatu berlaku kepada anda. Kalau tidak, anda dinasihati agar mendapatkan perlindungan MRTT. Jika terdapat peminjam bersama, anda juga patut mempertimbangkan perlindungan untuk beliau.

Apabila anda sudah membuat keputusan untuk membeli MRTT, siapa yang patut anda hubungi? Tentunya anda mahu mendapatkan khidmat pembekal perkhidmatan yang menawarkan paling banyak nilai dan kemudahan. Sebagai langkah pertama, tanya jumlah premium yang dikenakan. Apabila anda membandingkan polisi, pastikan anda membandingkan manfaat yang sama; sebagai contoh apakah syarat perlindungan, adakah perlindungan hilang upaya diberikan, adakah perlindungan tempoh nilai berkurangan atau tempoh nilai tetap disediakan, dan adakah premium dipulangkan jika tiada tuntutan dibuat?

Lazimnya MRTT disediakan dalam bentuk polisi insurans premium tunggal. Jika anda membeli polisi ini daripada bank sama yang memberikan pinjaman perumahan, bank akan membantu anda membiayai premium sebagai sebahagian daripada pinjaman. Ini sudah tentulah bergantung pada kedudukan kewangan anda. Jika anda membeli MRTT anda di tempat lain, sila semak dengan bank sama ada anda dibenarkan untuk turut membiayai premium tersebut.

Sebagai petua terakhir, tempoh 'ihsan' selama 15 hari disediakan untuk pembeli insurans. Tempoh 'percubaan' ini ialah tempoh awal selepas anda menerima polisi di mana anda boleh bertukar fikiran dan mendapatkan semua wang anda kembali. Sekiranya anda was-was tentang pembelian yang telah dibuat, anda sebagai pemegang polisi berhak untuk mendapatkan wang kembali dalam tempoh yang ditetapkan.

Sumber : utusan malaysia 7/1/2012

pengurusan kewangan