Monday, January 14, 2013

Kesan Penurunan Kuasa Beli Kepada Pengguna

Baru-baru ini sebuah akhbar telah melaporkan kemerosotan kuasa membeli di kalangan rakyat Malaysia semakin membimbangkan. Ini berlaku di tengah-tengah kejatuhan dolar Amerika Syarikat, sedangkan penyusutan mata wang Amerika itu sepatutnya memberi faedah kepada nilai ringgit.
Secara rasionalnya apabila nilai ringgit meningkat, sepatutnya keupayaan untuk berbelanja di kalangan rakyat Malaysia lebih besar. Bagaimanapun sebaliknya, kemerosotan kuasa beli semakin ketara sejak kebelakangan ini.
Penurunan kuasa beli menjadi petunjuk kepada ketidakseimbangan ekonomi, kemajuan dan kemakmuran dalam sesebuah negara. Timbul persoalan mengapa rakyat kita tidak dapat menikmati kelebihan kenaikan nilai ringgit berbanding dolar Amerika dalam kuasa beli? Tiada sebab untuk kita bergembira dengan kejatuhan nilai mata wang Amerika, sedangkan nilai ringgit semakin tidak dirasai.
Tahap kuasa beli di Malaysia sangat berbeza berbanding di Amerika Syarikat. Rakyat di negara tersebut masih berpeluang membeli lebih banyak barang di pasar raya walaupun nilai mata wang mereka menyusut. Sepatutnya kuasa membeli rakyat Amerika lebih sukar kerana mata wang mereka tiada apa-apa makna. Namun mereka terus menikmati kuasa membeli.
Di negara maju, lebih banyak rakyat berbelanja bagi barang tertentu, lebih murah harganya. Tetapi di Malaysia lebih banyak barangan tertentu dibeli, harganya boleh meningkat. Itulah perbezaannya dan perkara ini perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
Singapura merupakan satu lagi contoh negara yang kuasa beli di kalangan rakyatnya tidak terjejas. Rakyat Singapura masih boleh menikmati harga teh tarik S$0.80 secawan pada nilai mata wang mereka tetapi di Malaysia harga bagi minuman itu terus meningkat daripada RM1.00 kepada RM1.50 hingga RM1.80.
Dengan penyusutan kuasa membeli pendapatan sebanyak RM3000 dan tinggal di Kuala Lumpur tidak mencukupi kerana kos sara hidup yang tinggi. Apatah lagi bagi mereka yang mendapat kurang daripada jumlah tersebut. Perkara ini akan lebih dirasai oleh keluarga yang mempunyai bilangan anak yang ramai.
Hakikatnya kemiskinan bandar kini bukanlah perkara luar biasa. Kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian segera kerana sekiranya ia dibiarkan berterusan ia boleh mengundang kepada ketidakstabilan ekonomi isi rumah tempatan.
Kos sara hidup yang kian meningkat memang membebankan. Sebagai pengguna apa yang kita boleh lakukan? Perancangan kewangan perlu bagi mengurangkan tekanan kos hidup. Terdapat beberapa cara yang boleh diamalkan oleh seseorang bagi merancang kehidupan mereka.
Biasakan membuat bayaran tunai untuk mana-mana pembelian(selain daripada pembelian kereta dan rumah). Jangan mudah terpedaya dengan skim-skim sewa-beli(belian secara ansuran), walau bagaimana menarik pun syarat-syaratnya. Penggunaan kad-kad kredit akan hanya sekadar menangguhkan pembayaran hingga ke hujung bulan. .
Sebahagian besar daripada pembelian kita disebabkan oleh naluri. Buat senarai harga terlebih dahulu sebelum keluar membeli belah. Patuhi senarai tersebut. Cuba amalkan cara berbelanja secara sederhana.Manfaatkan kupon atau baucer yang diberikan ketika membeli belah di pasar raya. Ia dapat menjimatkan pembelian.
Berbelanja hanya satu hari tertentu dalam seminggu. Ini termasuk belanja bahan makanan dan barangan keperluan lain. Sebelum membeli, biasakan dengan bertanya kepada diri sendiri, "Benarkah saya memerlukan barangan ini?" "Berapa lama ia akan diperlukan?" "Adakah barangan ini hanya akan menyesakkan almari?"
Tangguhkan pembelian yang bernilai besar dan bernilai kecil selama dua minggu atau sebulan. Cuba rasakan dahulu kehidupan tanpa barang-barang tersebut. Jangan menambah barang yang tidak diperlukan di rumah.
Pasar raya telah menjadi pusat hentian setempat untuk semua barangan keperluan rumah. Untuk ke pasar raya terpaksa mengharungi kesesakan lalulintas dan barisan yang panjang untuk meletak kenderaan. Akibat ingin mengelakkan perjalanan ulang alik ke pasaraya, pengguna mula menyimpan stok. Walau bagaimanapun perancangan perlu betul, jangan sampai barangan yang dibeli tidak dapat digunakan sebelum tarikh luput dan akhirnya terpaksa dibuang.
Juga periksa penggunaan telefon, elektrik, air, internet dan perkhidmatan utiliti yang lain.

Cuba kawal penggunaanya sekiranya wujud penggunaan yang membazir. Lakukan sendiri kerja-kerja baik-pulih yang mudah contohnya, membetulkan engsel dan pemegang pintu yang longgar atau membersihkan panel penapis udara apabila unit penghawa dingin tersumbat. Ini lebih menjimatkan daripada memanggil kontraktor dan dikenakan bayaran ke atas perkhidmatan dan pengangkutan mereka.
Kegagalan untuk merancang kewangan dan perbelanjaan boleh mengakibatkan tekanan seterusnya menyebabkan rumahtangga menjadi porak peranda. Apabila keluarga bermasalah anak-anak juga akan mendapat tekanan perasaan serta gangguan mental. Ini akhirnya akan mendorong mereka melakukan perkara-perkara yang tidak diingini. 

sumber : www.ikim.gov.my

pengurusan kewangan